Wednesday 19 September 2012

SAMSUNG GALAXY TAB 7 PLUS

 

                             


     Samsung Galaxy Tab 7 Plus merupakan barisan Galaxy Tab terbaru kami telah mencuba, dan pendapat kami mengenainya adalah ianya merupakan sebuah tablet yang telah banyak berubah, dari segi spesifikasi mahupun rekabentuk, ia adalah tablet yang sesuai untuk mereka yang sentiasa bergerak dan keluarga.

SPESIFIKASI
Nama: Samsung P6200 Galaxy Tab 7.0 Plus
Saiz: 193.7 x 122.4 x 9.9 mm
Berat: 345 gram
Paparan: Skrin sesentuh PLS LCD, 16 juta warna, TouchWiz UX UI
Resolusi: 600 x 1024 piksel, 7.0 inci (~170 ppi ketumpatan piksel)
CPU: Dual-core 1.2 GHz
Android OS: Android OS, v3.2 (Honeycomb)
Kamera Pertama (Belakang): 3.15 MP, 2048×1536 piksel, fokus auto, LED flash
Kamera Kedua (Hadapan): 2 MP
Video: 720p@30fps
Rangkaian 2G: GSM 850 / 900 / 1800 / 1900
Rangkaian 3G: HSDPA 900 / 1900 / 2100
Slot Kad Memori: microSD, sehingga 64 GB
Memori Dalaman: Storan 16/32 GB, 1GB RAM
GPRS: Ya
EDGE: Ya
Kelajuan Data: HSDPA, 21 Mbps; HSUPA, 5.76 Mbps
WLAN: Wi-Fi 802.11 a/b/g/n, Wi-Fi Direct, dual-band, Wi-Fi hotspot
Bluetooth: Ya, v3.0 dengan A2DP, HS
Infrared port: Ya
USB: Ya, v2.0, USB Host support
Jenis Alert: Vibration; MP3, WAV ringtones
Loudspeaker: Ya, dengan speaker stereo
3.5mm jack: Ya
Bateri: Bateri standard, Li-Ion 4000 mAh

REKABENTUK



Rekabentuk Samsung Galaxy Tab 7 Plus telah banyak berubah (7.7″ x 4.8″), kita bandingkan dengan Galaxy Tab yang pertama dahulu, ianya lebih nipis lagi, namun dari segi diameter panjang ia lebih sedikit dari yang sebelumnya, namun jika dipegang ia terasa sangat sesuai dan boleh diletakkan di dalam poket anda.
Segala port yang anda perlukan seperti audiojack, microsd, simcard, caj bateri segalanya berada di kedudukan yang sesuai, cumanya untuk Galaxy Tab 7 Plus ini bahagian bateri tidak boleh dibuka dan memerlukan anda untuk hantar ke kedai sekiranya mahu ditukar ganti.
Tablet ini sesuai sekiranya anda mahu membaca sesuatu, melihat video, ataupun bermain permainan, ianya sangat senang dilihat, walaupun anda mengubahnya dari sudut potrait ke sudut landscape sekalipun. Namun sepanjang penggunaan kami dengan tablet ini kami sentiasa mempunyai masalah apabila tertekan dengan butang power di sebelah kanannya ataupun semasa diletakkan di dalam poket, sebolehnya kami cadangkan agar butang tersebut diletakkan di atas bagi mengelakkan ia ditekan tanpa kita sedari.

PRESTASI PERKAKASAN
Galaxy Tab 7 Plus menggunakan processor Dual-core 1.2 GHz Exynos yang dihasilkan sendiri oleh Samsung, walaupun ia sedikit ketinggalan dari segi kepantasan jika dibandingkan dengan processor terbaru keluaran Nvidia iaitu Tegra 3, tapi dari segi benchmark yang kami lakukan dengan aplikasi Quadrant, ianya masih lagi dalam tahap yang pantas jika dibandingkan dengan peranti lain jenis Android di pasaran.
Malah beberapa aplikasi dan permainan yang menggunakan grafik yang berat juga tidak mempunyai sebarang masalah.
Sistem TouchWiz UX yang Samsung gunakan juga sangat baik, daripada buka aplikasi hinggalah melayari laman web, Galaxy Tab 7 Plus dapat melakukannya dengan baik, tambahan lagi dengan storan 16GB yang ia miliki, anda tidak akan ada masalah dalam memasukkan banyak aplikasi dan permainan namun harus ingat-ingat dengan jumlah kapasiti yang peranti anda mampu tampung. Tapi itu juga boleh diatasi dengan membeli kad SD yang berada di pasaran, maksimum hanyalah hingga 64GB sahaja.
Dan satu perkara yang kami sangat puas hati sekali dengan Galaxy Tab 7 Plus ini adalah keupayaan data networking dan juga Wifi nya. Ia sangat pantas sekali, anda pasti suka dengan kelajuan anda membuka laman web dan muat turun sebarang permainan yang bersaiz besar. Galaxy Tab 7 Plus juga mempunyai fungsi untuk berkongsi rangkaian internet anda miliki, dan ketika kami mengujinya, kami sangat kagum dengan kepantasan yang tablet ini boleh kongsikan, ia seperti anda melanggan Unifi, ataupun mana-mana perkhidmatan wireless broadband, membuka video seperti dari web YouTube, Vimeo sangat kami suka. Boleh jadi penyelamat pada tugasan anda sekiranya talian internet anda di pejabat terputus.

PERISIAN
Samsung Galaxy Tab 7 Plus menggunakan OS Android Honeycomb, yang mana jikalau peranti yang masih baru lagi anda beli adalah dalam versi 3.2. Disinilah antara beberapa perkara yang kami rasakan Google masih lagi banyak perlu dilakukan. Bagi kami, Android OS Honeycomb masih lagi banyak masalah, ini tiada kaitan dengan Samsung, tapi dengan Google, terlalu banyak masalah dengan sistemnya yang kami boleh senaraikan seperti tidak boleh lock screen, kadang-kala ia tersekat semasa perubahan paparan dari sudut landskap ke potrait, dan pelbagai lagi. Namun begitu, sepanjang kami memiliki tablet ini, kami telah mendapat beberapa kemaskini sistem yang Samsung berikan untuk memperbaiki kekurangan pada Galaxy Tab 7 Plus.
Sehingga kini kami lihat, versi ‘baseband’ yang Galaxy Tab 7 Plus telah terima kemaskini adalah pada P6200DXKK5, dan kami percaya pengguna akan terima banyak lagi di masa akan datang nanti, ini bagi memastikan anda akan puas hati dengan keupayaan tablet ini.
Setiap peranti tablet keluaran Samsung pastinya menggunakan antaramuka TouchWiz UX, kami sangat menyukainya sekali, ia mempunyai lebih banyak fungsi jika dibandingkan dengan Honeycomb yang asal. Beberapa perisian yang telah tersedia didalam seperti AccuWeather.com, Pen Memo, Associated Press (AP) Mobile juga sangat cantik dipaparkan, tapi kami kesal dengan beberapa aplikasi dan permainan yang tidak menyokong tablet ini seperti Path, yang sentiasa mempunyai masalah force-close berulangkali walaupun banyak kemaskini telah kami lakukan, dan juga permainan Asphalt 6 yang tidak boleh dimasukkan kerana tidak menyokong spesifikasi untuk Galaxy Tab 7 Plus. Tapi tak perlu risau, kerana terdapat ribuan lagi aplikasi dan permainan di Android Market yang anda boleh gunakan dengan tablet ini tanpa ada masalah.

PAPARAN, BATERI DAN KAMERA
Paparan LCD pada Galaxy Tab 7 Plus sangat menarik sekali, ini kerana resolusinya sebesar 1024×600 dan 170 DPI yang dimilikinya bagi kami pun sudah cukup, walaupun Galaxy Tab 10.1 yang kami uji sebelum ini mempunyai paparan yang lebih baik lagi, tapi kami rasakan pengguna pasti akan kata “ini sudah okay” punya nanti.
Mengenai bateri, Galaxy Tab 7 Plus mempunyai perkakasan bateri yang sangat baik, tablet ini boleh bertahan berjam-jam lamanya jikalau anda kuat menggunakan aplikasi media sosial yang pastinya menggunakan sambungan internet yang berterusan, paling kuat ianya boleh tahan – 4-5 jam. Jikalau tiada apa dilakukan, hasil dari ujian kami ianya boleh bertahan lebih dari 24 jam.
Bagi kamera pula, komen kami adalah ianya sekadar baik sahaja dalam penghasilan imejnya, kerana kami semua mempunyai pengalaman menggunakan kamera DSLR, kami rasakan Samsung boleh melakukan lebih baik lagi dengan kameranya, tapi percaya dengan kami, ianya jauh lebih baik dari kamera Galaxy Note miliki, mengambil foto dalam keadaan kurang cahaya menghasilkan kualiti gambar yang baik, dan penggunaan flash juga ketika menangkap foto sangat cantik, anda boleh lihat contoh beberapa foto yang kami telah ambil dengan Galaxy Tab 7  Plus ini.


KONKLUSI
Ini adalah sebuah tablet yang sangat bagus, Galaxy Tab 7 Plus mempunyai pakej yang lengkap dari segi perkakasan dan perisian yang kami rasakan ianya boleh menjadi tablet yang sesuai sekali sekiranya anda mahu melakukan tugasan kerja anda semasa bergerak, bermain permainan, bersosial dengan rakan anda di Facebook dan Twitter, Galaxy Tab 7 Plus sesuai untuk anda. Dan kami berharap pihak Google dan Samsung dapat menghantar lagi banyak kemaskini kepada tablet ini supaya ianya boleh jadi sempurna lagi di masa akan datang.
Sekiranya anda ingin membuat panggilan dengan tablet ini kami mencadangkan agar anda menggunakan perkakasan bluetooth yang menyokong peranti ini, kerana bagi kami yang telah menggunakannya, menjawab panggilan dengannya tanpa sebarang perkakasan tanpa wayar lain adalah sangat tidak menarik dilihat oleh umum. Namun jika anda selamber seperti kami, angkat saja panggilan itu tanpa pedulikan orang lain.



1 comment: